MAC 2025

Kenamaan, Orang Ramai Antara Yang Memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak


KUCHING, 31 MAC – Premier Sarawak,  Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Puan Sri Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyambut kehadiran rakyat jelata yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) hari ini. 

Kira-kira lebih 10,000  pengunjung yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum telah hadir memeriahkan Rumah Terbuka Premier Sarawak yang berlangsung sehingga petang hari ini. 

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dan berswafoto bersama barisan pemimpin yang hadir, menyerlahkan semangat perpaduan antara rakyat dan kepimpinan negeri pada bulan Syawal ini. Pengunjung turut bergembira menikmati pelbagai juadah Hari Raya yang disediakan. 

Antara kenamaan yang hadir adalah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, bersama isteri, Dato’ Hajah Fatimah binti Haji Mohd. Iskandar. 

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Patinggi Tan Sri George Chan dan isteri, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon dan Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki; Setiausaha Kerajaan Sarawak serta isteri Datin Amar Hajah Baduyah binti Haji Bujang.